Sikap suka memperkatakan sesuatu tanpa fakta ilmiah semakin menjadi-jadi. Lebih-lebih lagi terhadap fakta yang melibatkan sumber perundangan Islam dan kreadibiliti alim ulamak itu sendiri. Amat malang sekali, apabila Mufti baru kita kerap kali mengecam para alim ulamak tradisional. Atas alasan kononnya ulamak tradisional bersifat konservatif, menyampaikan ilmu agama tidak berfakta, menokok nambah cerita, membawa riwayat Israeliyyat dan hadis palsu.
Bahkan dalam masa yang sama, Mufti Baru itu dengan angkuh mendakwa bahawa beliau seorang yang berfakta, menekankan aspek kesarjanaa dan membawa tajdid (pembaharuan) dalam memahami agama. Sebenarnya, inilah sebahagian daripada manifestasi sikap yang melampau dalam agama. Sikapnya yang suka mengecam orang lain dan dalam masa yang sama mengangkat diri sendiri sebagai jaguh sarjana amat dikesali. Manakala prinsip tajdid yang dibawanya pula lebih banyak mendatangkan kerosakan dari kebaikan. Jika dianalisa, Tajdid ala Wahhabi yang diperkenalkannya banyak mendatangkan kerancuan diminda masyarakat kita.
Sebagai contoh, Mufti termuda kita (Mufti Perlis) baru-baru ini membuat kenyataan di dalam Berita Harian pada 5hb Januari 2007 bahawa ramai dikalangan ustaz-ustaz kita yang mengajar di masjid dan surau membacakan hadis palsu. Beliau mendakwa bahawa hadis : “Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China ” merupakan hadis palsu. Mufti itu mengajak kita supaya merujuk kepada beberapa kitab yang diisyaratkannya. Tetapi beliau sendiri tidak meluahkan isi sebenar kandungan kitab-kitab yang menjadi rujukannya itu. Ini satu metodologi penyembunyian fakta secara terhormat. Dan bukan dari prinsip kesarjanaan dalam Islam.
Marilah kita sama-sama membuka minda untuk menilai status hadis : “Tuntutlah Ilmu walau sehingga ke negeri China ” dengan sejelas-jelasnya. Apakah dakwaan Mufti termuda itu boleh dianggap sebagai satu fakta yang benar?
Sebenarnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Rabi’ di dalam Musnadnya pada Bab Menuntut Ilmu dan kelebihannya hadis bernombor 18. (lihat al-Rabi’ bin Habib bin Umar al-Basri, Musnad al-Rabi’, cetakan Dar al-Hikmah : Bayrut, 1415H, tahkik Muhammad Idris, juz 1 m/s 29)
Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syuab al-Iman, hadis bernombor 1663. (lihat Abu Bakar Ahmad bin Hussein al-Baihaqi, Syuab al-Iman, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, 1410H, tahkik : Muhd Sa’id Basyuni Zaghlul, juz 2 m/s 253). Hadis ini juga disebut di dalam Musnad al-Bazzar bernombor 95. Akan tetapi al-Bazzar menolaknya dengan menarafkan sebagai palsu. Atas alasan Abi ‘Atikah merupakan perawi yang tidak dikenalinya. (Abu Bakar Ahmad bin Amru al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, Muassasah Ulum al-Qur’an : Bayrut, Cet Pertama, 1409H, tahkik : Dr Mahfuz al-Rahman Zainullah, juz 1 m/s 75)
Hadis ini juga disebutkan oleh Abi Syujak Syarawaih al-Hamazani di dalam Firdaus bi Ma’tsur al-Khitab bernombor 236. (lihat al-Hamazani, Firdaus bi Matsur al-Khitab, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, tahkik: Muhd Sa’id Basyuni Zaghlul 1986M, juz 1 m/s 78)
Soalnya, apakah para ulamak yang meriwayatkan hadis ini dan mengabadikan di dalam kitab karangan mereka boleh kita kategorikan sebagai pemalsu hadis. Masya Allah, jikalau Tuan Mufti tetap berpendapat sedemikian ternyata Tuan Mufti tidak menguasai seni ilmu hadis. Maksudnya ialah keupayaan dalam memahami kedudukan hadis, kecacatan hadis dan feqh al-Hadis itu sendiri. Justeru, apakah nilai disebalik MA dan PHD hadis yang tuan miliki.
Sekarang marilah kita sama-sama menelusuri perbincangan tentang status hadis ini. Imam Abd Rauf al-Munawi di dalam Fayd al-Qadhir Syarh Jami’ al-Saghir ketika membuat ulasan terhadap hadis ini mengatakan : “Al-Baihaqi mengatakan matannya (hadis ini) masyhur akan tetapi isnadnya dha’if. Dan diriwayatkan daripada (beberapa) sanad yang lain yang sempurna kedudukannya. Manakala Ibn Abd al-Barr di dalam kitabnya Fadhl al-Ilmi (Kelebihan Menuntut Ilmu) meriwayatkan hadis ini daripada Jaafar bin Muhammad al-Zaghuni daripada Ahmad bin Abi Suraij al-Razi daripada Hamad bin Khalid al-Khayyath daripada Tharif bin Salman bin ‘Atikah daripada Anas ‘Ad daripada Muhammad bin Hasan bin Qutaibah daripada Abbas bin Abi Ismail daripada Hassan bin ‘Athiyyah al-Kufi daripada Abi ‘Atikah daripada Anas.
Bagi saya, apa yang dijelaskan oleh Imam al-Munawi ini hamper sama nadanya dengan kenyataan Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Lisan al-Mizan (Ibn Hajar al-Asqalan, Lisan al-Mizan, Muassasah al-A’lami: Bayrut, Cet ke-3, 1986M, juz 6 m/s 304)
Al-Munawi meneruskan ulasannya : “Dan Ibn Hibban mengatakan hadis ini hadis yang bathil yang tidak ada sumbernya berdasarkan hujjah bahawa al-Hassan (perawi hadis ini) merupakan perawi yang dhaif. Manakala Abi ‘Atikah (merupakan seorang) perawi yang munkar. Dan di dalam kitab al-Mizan dijelaskan bahawa riwayat Abu ‘Atikah daripada Anas diperselisihkan tentang namanya dan periwayatannya adalah dhaif sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi.
Imam al-Sakhawi pula dan lain-lain ulamak mengatakan : “Hadis ini dhaif berdasarkan kepada dua faktor. Dan Ibn Hibban mengatakan hadis ini hadis yang bathil yang tidak ada sumbernya. Manakala Ibn al-Jauzi menarafkan ia sebagai hadis yang direka. Dan kami memilih atau menuruti pendapat al-Mizzi (Imam al-Hafiz Jamaluddin al-Mizzi yang mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan dengan beberapa riwayat dan apabila dicantumkan dengan sebahagian riwayat yang lain kemungkinan ia mencapai standard hadis hasan. Dan al-Dhahabi mengatakan di dalam Talkhis al-Wahiyat bahawa hadis ini diriwayatkan dengan banyak riwayat. Sebahagian bertaraf waahiyat (amat lemah) dan sebahagiannya sholeh… (baik).” (Abd Rauf al-Munawi, Fayd al-Qadir Syarh Jami’ al-Soghir, Maktabah al-Tijariah al-Kubra : Mesir, Cetakan Pertama, 1306H m/s 543 juz 1)
Tidak cukup dengan keterangan di atas, marilah kita sama-sama meneliti pula apa yang dikemukakan oleh Imam al-Ajlouni di dalam kitabnya Kasyf al-Khafa’ li Muzil al-Ilbas Ketika membahaskan hadis “Menuntut ilmu satu kefardhuan bagi setiap individu muslim” beliau mengatakan : “Hadis riwayat Abi ‘Atikah (pada awal lafaznya) Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China dan keduanya (lafaz akhir)” terdapat beberapa komentar. Ibn Abd al-Barr juga meriwayatkan daripada Anas dengan riwayat yang banyak. Tetapi keseluruhannya mempunyai kecacatan dan tiada hujjah padanya dari sudut isnad menurut pakar hadis.”
Katanya lagi : “Menurut al-Bazzar hadis ini diriwayatkan daripada Anas dengan sanad-sanad yang amat lemah. Dan yang paling hasannya ialah apa yang diriwayatkan oleh Ibrahim bin Salam secara mar***** daripada Anas. Dan tidak diketahui orang yang meriwayatkan daripada Ibrahim bin Salam kecuali Abu ‘Asim. Manakala pada perbincangan hadis bab (Bab Ilmu) telah dikemukakan riwayat-riwayat daripada Ubai, Jabir, Huzaifah, al-Hussein bin ‘Ali, Ibn Abbas, IbnUmar, Ali, Ibn Mas’ud, Abu Hurairah, ‘Aisyah, Um Hani’ dan lain-lain. Ringkasnya (menurut kami) ialah berdasarkan apa yang ditakhrijkan oleh al-Iraqi terhadap kitab Ihya’ Ulumuddin karangan al-Ghazali…”
Selanjutnya al-Ajlouni mengulangi pendirian al-Baihaqi terhadap hadis ini. Di samping itu, beliau mengemukakan pendapat Imam Ahmad terhadap hadis ini berdasarkan apa yang dinukilkan daripadanya Ibn al-jauzi di dalam Ilal al-Mutanahiyah dengan katanya : “Hadis ini tidak tsabit sesuatupun berkaitan dengan hadis bab menurut pandangan kami.”
Katanya : “Dan demikian juga pandangan Ishaq Ibn Rahawiyah dan Abu Ali al-Nesyaburi. Manakala Ibn al-Solah mengisyaratkannya sebagai hadis masyhur yang tidak bertaraf sahih. Dan pendapat ini diikuti oleh Imam al-Hakim. Akan tetapi al-Iraqi mengatakan sesetengah ulamak hadis mentashihkannya dengan beberapa isyarat sebagaimana yang dijelaskan beliau dalam ulasan beliau terhadap Ihya’ Ulumuddin.
Katanya lagi : “Imam al-Mizzi pula mengatakan : “Isyarat hadis ini mencapai status hasan sebagaimana yang didapati di dalam Maqasid al-Hasanah. Manakala Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Lali’ selepas meriwayatkan pelbagai riwayat dari Ali, Ibn Mas’ud, Anas Ibn Umar, Ibn Abbas, Jabir dan Abi Said mengatakan bahawa pada hadis ini terdapat beberapa pandangan.” (Syeikh Ismail b Muhammad al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’ li Muzil al-Ilbas, Cet ke-4 Muassasah al-Risalah, Bayrut, 1405H, tahkik Ahmad al-Qallasy m/s 56-57 juz 2)
Kesimpulannya, berdasarkan keterangan di atas jelaslah kepada kita bahawa hadis : “Tuntutlah ilmu walau ke negeri China ” diriwayatkan dengan banyak riwayat. Sebahagian dari riwayat tersebut berstatus dhaif. Akan tetapi apabila dihimpunkan dengan beberapa riwayat yang dhaif dan didatangkan dengan beberapa syahid (kesaksian) yang lain riwayat dhaif tersebut akan mencapai status hasan.
Manakala beberapa riwayat yang bertaraf amat lemah dan berstatus munkar atau palsu ditolak oleh para ulamak sebagai hujjah dalam kelasnya. Hal ini diputuskan berdasarkan kepada kedudukan kedudukan perawi dalam sanad-sanad yang tersendiri sebagaimana yang diperjelaskan di atas. Dan ketentuan ini amat mudah difahami bagi mereka yang mendalami ilmu hadis. Sayangnya Mufti Baru kita menggunakan metodologi bersifat hukmi semata tanpa tafsili. Iaitu dengan menghukum hadis ini palsu secara total. Apakah ini sati estetika ilmiah yang boleh dikongsi bersama?.
Di samping keterangan menerusi kitab-kitab di atas, banyak lagi keterangan yang boleh dinukilkan di sini melalui beberapa kitab. Antaranya melalui kitab al-Kamil fi Dhua’fa al-Rijal, al-Majruhin,Ttarikh al-Baghdad, al-Tadwin fi Akhbar Qazwin, Kasyf al-Dzunun, Abjad al-Ulum dan lain-lain. Namun penulis menyingkatkan perbincangan untuk memberi focus perbincangan kita. Tetapi penulis tidak teragak-agak untuk menghuraikannya secara lebih lanjut jika keadaan memerlukan.
Selain keperihalan sanad, marilah kita menganalisa sedikit tentang kedudukan matannya. Matan hadis ini adalah jelas berstatus masyhur sebagaimana penjelasan Imam al-Baihaqi. Tidak cukup dengan itu, para ulamak tidak lupa untuk menghuraikan matan hadis ini. Buktinya, Imam Al-Ajouni ketika menukilkan huraian al-Baihaqi dengan katanya : “Hadis ini (menuntut kita) untuk mempelajari ilmu yang bersifat umum yang mana seseorang tidak patut jahil mengenainya. Ataupun ia bermaksud satu tuntutan menimba ilmu-ilmu yang bersifat khusus. Atau yang dimaksudkan dengan tuntutan “Menuntut ilmu satu kefardhuan bagi setiap individu muslim” sehingga seseorang itu mampu melaksanakan tuntutan yang memenuhi keatas dirinya…”
Selain huraian Ibn Abd al-Barr, al-Baihaqi, al-Ajlouni, al-Munawi,al- Sakhawi, hadis ini juga turut dihurai oleh Imam Abdullah ‘Alawi al-Haddad di dalam Nasha ih’ al-Diniyyah wa Wasoya al-Imaniyyah. Dan intisari kitab ini pula diajarkan oleh Tuan-tuan Guru dan Ustaz-ustaz kita. Apakah aktiviti seperti ini dikira sebagai penyampai hadis palsu. Maka buatlah pemerhatian yang sebaik-baiknya sebelum melontarkan tuduhan terhadap sesuatu perkara.
Secara realitinya pula, matan hadis ini tepat dengan apa yang berlaku pada hari ini. Walaupun Rasulullah SAW tidak pernah sampai ke negeri China , namun wawasan pemikiran Baginda SAW terlebih dulu sampai ke sana . Bukankah China dulu dan kini terkenal dengan industri pembuatan tembikar/kaca, kertas, kain sutera, jarum, barangan mainan, produk pertanian dan barangan tiruan.
Malah dunia mana pada hari ini tidak diduduki orang cina. Dan terbukti pada hari ini bahawa orang cina yang menguasai ekonomi sehingga ekonomi Amerika pun turut tergugat dengan peranan yang dimainkan China . Mereka yang menjadi gergasi Ekonomi di alaf baru. Justeru, apa salahnya kita mempelajari sikap yang baik, disiplin, kemahiran dan teknologi mereka. Tuan Mufti sendiri ada menyentuh hakikat ini pada tulisan di akhbar Berita Harian pada 4hb. Namun pada tulisan 5hb Januari 2007 beliau sendiri menulis di bawah sedar.
Kesimpulannya, semua keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa para ulamak tidak seia sekata dalam menentukan hadis ini. Apa yang jelas ialah status hadis ini ditentukan berdasarkan kepada susur galur periwayatan sanad-sanadnya yang banyak. Hasilnya, ada riwayat yang berstatus dhaif dan palsu. Walaupun dhaif jika dihimpunkan dengan beberapa periwayatan dan kesaksian yang lain ia akan mencapai taraf hasan. Apabila ia bertaraf dhaif ataupun hasan ternyata ia boleh diamalkan menerusi disiplin ilmu hadis.
Buktinya, Al-Imam al-Nawawi –secara masyhur- di dalam al-Arba’in mengatakan bahawa para fuqaha’ dan muhaddithin telah bersepakat untuk menerima pakai hadis dhaif dalam bab Fadha’il a’mal (kelebihan untuk beramal) dan Bab Etika serta tidak ianya tidak berstatus palsu. Justeru, jika Tuan Mufti mendakwa ianya palsu mengapa Tuan Mufti tidak memperincikan sanad-sanadnya yang palsu itu sebagaimana menurut disiplin ilmu hadis.
Sayangnya, Mufti Baru kita seakan sengaja menyembunyikan fakta ini. Dimana nilai kesarjanaan yang dilaung-laungkannya . Amat malang , kerana berasaskan kepada fakta yang disembunyikan ini, beliau membuat kecaman terbuka terhadap Tuan-tuan Guru dan Ustaz-ustaz kita bahawa kebanyakkan mereka menyampaikan ilmu agama dengan hadis palsu.
Senario ini sedikit sebanyak mendatangkan fitnah kepada mereka. Masya Allah. Jika ada benarnya dakwaan Mufti baru ini, saya meminta Tuan Mufti kemukakan butiran individu tersebut, lokasi pengajaran mereka, sanad dan matan yang dibawa mereka untuk dimuzakarahkan. Hal ini penting supaya Tuan Mufti tidak menuduh secara sembarangan. Dan maruah Tuan Mufti tidak tercemar di mata masyarakat. Walaupun asas untuk mendakwa bahawa hadis ini sebagai hadis yang palsu ada. Tetapi asas al-Bazzar, Ibn Hibban dan Ibn al-Jauzi itu berteraskan kepada perawi yang dikritik mereka. Manakala perawi yang dikritik pula dipandang sebagai dhaif oleh majority ulamak yang lain. Akhirnya menimbulkan kekhilafan dalam penarafan hadis. Justeru, perselisihan ini tidak wajar dijadikan asas untuk dimuktamadkan sebagai hadis palsu. Apatah lagi ia hendak digunakan sebagai hujjah untuk menuduh pihak yang tidak sependapat dengan kita.
Nampaknya, mutiara-mutiara ilmiah dan hikmah kita semakin hilang apabila institusi agama diterajui oleh mereka yang jahil dalam disiplin ilmu ini. Lantaran itu, tidak hairanlah jikalau ada suara-suara sumbang yang mengkritik ulamak dan pendakwah secara menghina bukannya bersifat membina. Dan tidak syak bahawa inilah seni penyelewengan yang terhormat dalam agama. Semoga Allah mengurniakan hidayah kepada kita semua terhadap apa yang disukai lagi diredhaiNya.
0 komentar:
Posting Komentar